Boleh dine-in atau tidak?.. peniaga masih menunggu

Boleh dine-in atau tidak?.. peniaga masih menunggu

Kota Kinabalu: Isu prosedur operasi standard (SOP) dine-in yang masih belum berkesudahan hingga ke hari ini menyebabkan beberapa peniaga mengeluh kerana terpaksa menanggung rugi.

Malah situasi itu turut menyukarkan para peniaga yang masih tertunggu-tunggu apakah sebenarnya berlaku.

Bagi pemilik restoran di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Csia Lak Bah, 70, ketika ditemui oleh Deasoka berkata, bukan niat pihaknya menuding jari, namun sudah tiba masanya ada penjelasan yang menyeluruh berhubung perkara itu.

Csia Lak Bah, 70, ketika ditemui Deasoka di Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

Bahkan, dia turut berasa pelik susulan pengumuman Ketua Menteri yang membenarkan aktiviti dine in sejak Isnin, namun ura-ura daripada Kerajaan Pusat pula menjadi sebaliknya.

“Yang patut, Sabah boleh bah…dia tiap-tiap hari tidak sampai 200 ke 300 orang, Sabah ini besar bah.

“Macam bulan April, bulan Mei, okay bah, sampai sekarang pun sama juga,”katanya.

Csia Lak berkata demikian ketika ditemui di premisnya dalam tinjauan Deasoka berhubung senario semasa SOP dine in di sekitar Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, pemilik restoran terkemuka di Jalan Gaya itu turut mendedahkan, pihaknya ada cuba membuka kelengkapan meja makan dengan pematuhan sedia ada namun terpaksa dihentikan kerana didatangi beberapa anggota pihak berkuasa untuk tidak membuka meja.

“Ada, semalam (kelmarin) kita dengar orang cakap besok pagi boleh buka bah, duduk-duduk, kita bukalah, tapi, orang cakap tidak boleh buka.

“Itu pihak berkuasa ada datang, besoklah tengok malam macam mana kalau MCO okay pass, bolehlah… tapi tunggu-tunggu sekarang sampai tiada.

“Kalau tapau (bungkus), susah. Tiap-tiap bulan tanpa duit macam mana mahu cari duit lagi, susah betulah,” rintihnya.

Sementara itu, bagi seorang usahawan, Roger Chiam, 59, pula berpendapat di Sabah adalah berbeza dengan di Semenanjung memandangkan kes Covid-19 di negeri ini tidaklah seteruk seperti di negeri jiran.

Roger Chiam, 59, berpendapat di Sabah adalah berbeza dengan di Semenanjung memandangkan kes Covid-19 di negeri ini sudah mula terkawal.

“Mereka punya fikiran sama sini lain bah, kau tengok di KL (Kuala Lumpur) ada bunuh diri tiada makan banyak masalah. Teruk sana, sini belum lagilah, kalau lock lagi mungkin ada dia punya masalah sama tu.

“Yalah, tapi kalau kau dine in, ikut SOP yang betul-betul lengkap kan, tiada masalah,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kelonggaran aktiviti sosial dan ekonomi di negeri ini bersempena pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Keadaan premis makanan di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, berlaku kekeliruan di mana Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan di ibu negara mendedahkan, setiap negeri perlu mengikuti garis panduan SOP ditetapkan oleh pusat.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, keperincian Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri ini akan dimaklumkan sepenuhnya oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dalam tempoh terdekat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|