Laluan keretapi Tenom – Pangi dan Payoh, ditutup sementara: Bung

Laluan keretapi Tenom – Pangi dan Payoh, ditutup sementara: Bung

Kota Kinabalu: Perkhidmatan keretapi melibatkan laluan Tenom – Pangi dan Rayoh kini ditutup buat sementara waktu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata penutupan berkenaaan adalah disebabkan kerosakan teruk pada landasan akibat banjir, baru-baru ini.

Menurutnya, lokasi tersebut terjejas teruk susulan berikutan bencana banjir antara 20 dan 23 Mei lalu.

“Kerja-kerja kecemasan bagi membaiki landasan tersebut sedang berjalan dan dijangkakan siap dalam tempoh dua bulan.

“Bagaimanapun kita berharap kontrator pelaksana akan dapat membuat kerja memindahkan (realigment) landasan sementara dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, beberapa kerosakan besar yang dikenalpasti adalah berlaku di kawasan KM114 Rayoh, KM124 dan KM130 Pangi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum rungutan penduduk setempat khususnya di kawasan Pangi yang tular di media sosial berhubung senario terpaksa menggunakan pendekatan ‘Motosikal Troli atau ‘troli haram” sebagai kenderaan mereka untuk keluar ke pekan Tenom.

Jelasnya, bagi mengatasi masalah tersebut, pihak Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) telah menyediakan Troli Pemeriksaan atau Inspection Trolley (IT) di Rayoh dan di Pangi bagi menggantikan perkhidmatan keretapi penumpang.

“Hanya troli pemeriksaan (Inspection Trolley) sahaja yang boleh melalui kawasan landasan yang rosak dari tempat asal ke KM135 sebelum menaiki DMU dari KM135 hingga ke Tenom, “katanya lagi.

Tambah beliau, IT hanya boleh dinaiki dengan kapasiti seramai enam ke lapan penumpang sahaja dengan kaedah troli tersebut kini bersedia sebagai pengangkutan penduduk bagi kes kes kecemasan sepanjang 24 jam.

” Orang ramai khususnya di kawasan terlibat boleh berhubung dengan JKNS di kawasan berkenaan sekiranya berlaku kes kes kecemasan.

“JKNS sedang berusaha untuk menambah bilangan (IT) di kawasan terjejas dan ianya beroperasi mengikut jadual perkhidmatan sedia kala kereta api Rayoh-Tenom dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, “katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|