Kelonggaran sektor ekonomi Sabah, Persekutuan perlu hormati kita: FCAS

Kelonggaran sektor ekonomi Sabah, Persekutuan perlu hormati kita: FCAS

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan perlu menghormati langkah negeri ini membenarkan beberapa sektor ekonomi dan aktiviti sosial beroperasi semula.

Presiden Persatuan Gabungan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T. C Goh (gambar) berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh Ketua Menteri baru-baru ini dilakukan berdasarkan situasi semasa di dalam negeri.

Beliau berkata, berikutan situasi Covid-19 di Sabah semakin terkawal berbanding beberapa negeri di Semenanjung, jelasnya adalah lebih baik pengumuman tersebut diterima oleh Persekutuan dan bukannya bertindak sebaliknya.

“Sekiranya Menteri Kanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan keperincian SOP untuk kawasan yang mempunyai kes Covid rendah dengan pertimbangan sewajarnya, maka banyak pihak di Sabah akan mengikuti keadaan itu serta membuka semula sektor ekonomi, “katanya.

Jelas beliau dalam satu kenyataan medianya semalam, Goh turut menjelaskan, Persekutuan seharusnya menghormati keputusan Kerajaan Negeri lebih-lebih lagi ianya dilakukan atas dasar pertimbangan bersama daripada pihak dan agensi berkaitan selain merujuk kepada data serta fakta daripada keadaan semasa di Sabah.

Menurutnya lagi, berdasarkan kenyataan Ismail Sabri yang mengumumkan MKN bersedia melakukan perubahan berhubung lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan formula 10,000 populasi dengan jumlah kes, maka sudah tentu Sabah sepatutnya diberi kelonggaran berbanding Selangor yang mempunyai jumlah kes Covid-19 sentiasa meningkat naik sejak kebelakangan ini.

“Malah sekiranya ia diambil kira dengan melibatkan negeri-negeri termasuk Sabah, kita adalah layak untuk menamatkan PKP penuh.

“Sehubungan itu, adalah logik sekiranya Kerajaan Negeri Sabah memutuskan supaya sektor ekonomi dibuka dengan pematuhan SOP secara berperingkat yang mana boleh diterima dan dianggap wajar,” katanya lagi.

Sementara itu, Goh yang juga Presiden Hokkien Sabah dan Labuan (FSLHA) berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memutuskan perkara tersebut yang dilihatnya turut disokong ramai tanpa mengira latar belakang politik di negeri ini.

“Saya percaya rakyat Sabah lebih memahami keadaan sebenar di negeri ini terutamanya dalam pengalaman menempuh cabaran pandemik dan pelaksanaan PKP.

“Dalam konteks ini, Kerajaan Persekutuan dan Negeri harus menjalin kerjasama dengan erat dalam membela nasib rakyat untuk menempuh detik sukar ini bersama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|