BERNAS bangunkan empat lokasi SMART SBB

BERNAS bangunkan empat lokasi SMART SBB

Kota Kinabalu: Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) membangunkan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di empat lokasi termasuk di negeri ini.

Empat kawasan sawah berpotensi yang dikenalpasti di negeri ini ialah Kampung Kulambai, Kota Belud, manakala tiga lagi kawasan di Batang Lupar, Sarawak, Sungai Batu Pahat, Perlis dan Setiu, Terengganu.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bernas, hari ini berkata, SMART SBB adalah program kolaborasi di antara BERNAS dan agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Pertubuhan Peladang Kawasan dan beberapa lagi agensi lain.

Katanya, ia adalah usaha dan tindakan komited Bernas dalam merangka hala tuju strategik bagi memperkasakan industri padi dan beras negara.

“Bermula dengan Memorandum Persefahaman (MoU) antara BERNAS dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), SMART SBB adalah salah satu inisiatif MAFI bagi menyatukan tanah sawah untuk membentuk satu sistem pengurusan ladang berpusat.

“Sistem berpusat ini dilihat dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ketika ini kerja-kerja pemulihan infrastruktur dan tanah serta penanaman padi sedang giat dilakukan kawasan-kawasan yang dikenalpasti.

“Cabaran ini memerlukan ketelitian yang menyeluruh, sebagai contoh dalam membangunkan tanah sawah yang sudah lebih 10 tahun terbiar seperti di Kampung Kulambai Kota Belud, Sabah.

“Ketika ini kerja-kerja pemulihan infrastruktur dan tanah serta penanaman padi sedang giat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu turut menyatakan kerjasama BERNAS dengan hampir 200 pesawah, di mana mereka didedahkan dengan teknik serta amalan pertanian baik bagi menguruskan sawah berskala besar.

Katanya, penggunaan mekanisasi dan teknologi terkini atau Internet of Things (IoT) yang dilihat dapat memudahkan kerja-kerja ladang akan turut diperkenalkan kepada warga tani bagi mewujudkan sistem pertanian yang lebih terancang.

“Ini sekaligus dapat menjimatkan kos penanaman secara menyeluruh, selain membantu pesawah memperolehi hasil tuaian yang baik.

“Penglibatan pesawah yang merupakan elemen terpenting dalam program ini turut menunjukkan angka yang memberangsangkan. Mereka amat komited serta berdisiplin dalam mengikuti Jadual Kerja Ladang yang telah ditetapkan bagi mendapatkan kadar hasil dan mutu padi yang lebih berkualiti,”’katanya.

Menurutnya, sebagai salah sebuah syarikat peneraju SMART SBB, BERNAS akan sentiasa memberi sokongan terhadap pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi memacu kejayaan mereka.

Selain itu katanya, BERNAS juga turut merancang untuk memperluaskan lagi program SMART SBB ini kepada varieti padi yang lain seperti beras wangi pada masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|