Bawa dalang ke muka pengadilan

Bawa dalang ke muka pengadilan

Kota Kinabalu: Pelaku kejadian 11 bangkai penyu yang ditemukan dalam keadaan menyayat hati di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, semalam perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, perbuatan itu amat kejam dan tidak boleh diterima apatah lagi apabila dunia sedang giat menjalankan kempen menyelamatkan spesis haiwan istimewa berkenaan.

Katanya, populasi global penyu semakin merosot saban tahun dan umum mengetahui haiwan ini memainkan peranan sangat penting dalam ekosistem hidupan laut.

“Selain menjaga dasar laut dan terumbu karang, haiwan ini juga berada dalam jaringan makanan hidupan laut.

“Saya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan tegas untuk mencari pelaku perbuatan kejam ini dan mengenakan hukuman paling berat buat pelaku,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas lanjut, Razeef berkata, keadaan perubahan iklim, pencemaran serta pembangunan pesisir pantai sudah cukup mendorong kepada kepupusan haiwan istimewa ini.

Katanya, ia ditambahkan lagi dengan kegiatan memburu daging dan telur penyu yang memburukkan lagi keadaan serta menyebabkan kerapuhan keseimbangan ekosistem laut kita.

“Saya juga maklum bahawa penjualan telur penyu masih berleluasa terutama di kawasan Sandakan.

“Saya berharap pihak berkuasa memainkan peranan penting serta memperhebatkan lagi operasi menghalang dan menangkap dalang penjualan telur penyu,” katanya.

Menurutnya, pemantauan juga perlu kerap dilakukan selain peranan orang awam dalam memberi sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram penangkapan serta penjualan daging dan telur penyu.

“Antara spesis penyu yang terdapat dalam negara ini adalah Penyu Belimbing, Penyu Karah atau Sisik, Penyu Lipas dan spesis agar atau Penyu Hijau.

“Semua spesis Penyu ini dikategorikan dalam kategori kritikal berdepan kepupusan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|