Keningau: Tindakan seorang pesakit Covid-19 yang cuba melarikan diri, bertukar cemas apabila dia terperangkap di tingkat satu Hospital Keningau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa wanita berusia 24 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang hadir membantu di lokasi kejadian.
Difahamkan wanita itu Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) dan dimasukan diwad Hospital Keningau sejak semalam.
Ketua BBP Keningau, Sharudy Delamin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terperangkap di tingkat satu di bahagian luar bangunan Hospital Keningau.
“Pasukan bomba yang lengkap memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa mangsa turun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi terkawal pada jam 7.20 pagi sebelum ditamatkan 19 minit kemudian selepas tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi kejadian.
-Deasoka