Tambah baik infrastruktur asas atasi isu banjir, bekalan air di Menumbok

Tambah baik infrastruktur asas atasi isu banjir, bekalan air di Menumbok

Menumbok: Bekas Ketua UMNO Beaufort, Mohd Fadzlee Lee Abdullah menyarankan agar usaha dilakukan bagi menambah baik kemudahan infrastruktur asas di daerah kecil ini agar penduduknya menerima manfaat demi kelangsungan hidup mereka.

Katanya, penduduk di Menumbok juga sepatutnuya menikmati keselesaan seperti di kampung-kampung di daerah lain.

“Adalah menjadi harapan besar penduduk termasuk saya untuk melihat daerah kecil ini semakin maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook beliau.

Katanya, pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat seharusnya melakukan sesuatu termasuk berusaha mencari jalan meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur asas supaya penduduk tidak menghadapi sebarang masalah ketika berlaku bencana.

“Tiada daya dan upaya penduduk kampung sekiranya mandat yang diberikan kepada pemimpin sebagaimana yang diharapkan tidak diperjuangkan,” katanya sambil menambah adalah memalukan jika masalah yang dihadapi diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau yang juga bekas calon Bebas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) merujuk kehampaan penduduk beberapa kampung di sini yang sering terjejas akibat banjir yang menyebabkan rumah mereka ditenggelami air selain menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Bekalan air paip yang keruh sangat mengecewakan penduduk di Menumbok.

Katanya, banyak kekurangan dari segi infrastruktur asas di daerah ini menyebabkan penduduk hampa dan kecewa seolah-olah pemimpin mereka langsung tidak memperjuangkan bagi penambahbaikan kemudahan yang ada.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, kemudahan seperti ‘culvert’, sistem perparitan yang tidak dikendalikan dengan baik dikatakan menjadi punca berlakunya banjir kilat di samping penyaluran bekalan air kepada penduduk yang sering terputus berbulan-bulan.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi penduduk sering kali disuarakan dan ditularkan di media sosial namun tiada perhatian diberikan oleh wakil rakyat atau pegawainya.

“Dengarilah suara-suara rakyat melalui media sosial itu dan tunjuklah keprihatinan terhadap keluh kesah mereka. Sepatutnya inilah fungsi pemimpin yang mendapat mandat daripada rakyat,” tegasnya.

Mohd Fadzlee berkata, beliau memberi teguran itu bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak tetapi sebagai satu tanggungjawabnya mewakili penduduk kampung memperingatkan agar wakil rakyat dapat melaksanakan amanah dengan baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|