Menderma darah dapat stabilkan tekanan darah

Menderma darah dapat stabilkan tekanan darah

Kuala Penyu: Amalan menderma darah secara berkala bukan saja membantu golongan yang memerlukan bekalan darah, malah dapat menstabilkan tekanan darah dalam badan penderma.

Perkara itu diakui seorang penderma darah, Chong Tien Hing, yang sudah 48 kali menderma darah, sambil menambah dakwaan yang mengatakan amalan menderma darah boleh menggemukkan adalah tidak benar.

Katanya, sebelum menjadi penderma darah, beliau kadang kala berdepan masalah tekanan darah tinggi, namun bacaan tekanan darahnya menjadi lebih stabil selepas kerap menderma darah.

“Saya mengambil keputusan untuk terus menderma darah kerana melalui pendermaan darah secara berulang, bacaan tekanan darah saya menjadi lebih stabil apabila menjadi berbanding sebelum ini, tekanan darah adakalanya tinggi.

“Bagi mereka yang baru menderma, percayalah amalan menderma darah tidak menggemukkan seperti apa yang diceritakan segelintir orang,” katanya, di sini.

Beliau bersama seorang lagi penderma, Appollo Massi, adalah antara dua penderma darah di daerah ini yang pernah menderma darah sebanyak 40 kali dan ke atas.

Mereka adalah antara 100 penderma darah yang menjayakan Kempen Derma Darah Bermaklumat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia cawangan Kuala Penyu, di sini, semalam.

Sementara itu, Appolo yang sudah menderma darah sebanyak 40 kali, berkata, perasaan bimbang ketika pertama kali menderma adalah perkara biasa namun ia akan hilang apabila mengulangi amalan berkenaan.

Penderma darah, Appollo Massi sudah 40 kali menderma darah.

Beliau yang menderma darah sejak 1999 mengakui turut gementar dicucuk jarum apabila pertama kali tampil menderma darah, namun proses pendermaan katanya tidak menyakitkan kerana adanya bius.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu, Hamdan Tahir, berkata program berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti Pusat Maklumat Rakyat atau PMR@Komuniti bertujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Katanya, Jabatan Penerangan daerah menggunakan pendekatan berbeza iaitu melalui aktiviti menderma darah untuk menyampaikan maklumat mengenai Rukun Negara, pembudayaan norma baharu dan pengetahuan mengenai vaksin Covid-19 kepada orang ramai.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu, Hamdan Tahir.

“Program PMR@Komuniti ini yang sedang diadakan di seluruh negeri Sabah, turut menggunakan pelbagai pendekatan lain bagi mendekati masyarakat, dan kami di Kuala Penyu memilih untuk menggunakan aktiviti pendermaan darah sebagai medium untuk menyampaikan maklumat kepada masyakarat,” katanya.

Beliau berkata, program itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 100 penderma darah melalui beberapa slot bagi mengelak kehadiran ramai orang serentak seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP).

Hamdan berkata, pihaknya berterima kasih kepada Y&Y Group yang menaja saguhati berupa barang keperluan harian kepada penderma darah dan sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort yang turut membantu.

Orang ramai tampil menderma darah pada Kempen Derma Darah Bermaklumat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia cawangan Kuala Penyu.

Katanya, penghargaan juga diberikan kepada Hospital Kuala Penyu dan Hospital Beaufort kerana sama-sama menjayakan program berkenaan.

Turut hadir hadir ialah Pegawai Perubatan Hospital Kuala Penyu, Dr Mohamad Fadli Ariffin Tait; Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort, Koh Chen Shiung dan kakitangan Hospital Kuala Penyu serta Hospital Beaufort.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|