Penemuan 11 bangkai penyu, bukan kerja orang tempatan

Penemuan 11 bangkai penyu, bukan kerja orang tempatan

Kota Kinabalu: Penemuan 11 bangkai penyu hijau di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, semalam bukan dilakukan oleh penduduk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, perbuatan itu amat kejam dan langsung tidak dapat diterima.

Katanya, beliau amat yakin ia bukan perbuatan orang tempatan kerana tiada sesiapa yang memakan isi penyu.

“Saya mendapat tahu mengenai perkara ini semalam dan baru dua hari lalu saya berada di Pulau Bum-Bum iaitu tidak jauh dari lokasi bangkai penyu itu ditemui.

“Perbuatan kejam terhadap haiwan amat menyentuh jiwa. Saya yakin ia bukan perbuatan orang tempatan kerana orang tempatan tidak makan isi penyu. Saya juga lahir di pulau, tidak makan daging penyu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jaujan berkata, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi untuk menangkap pihak bertanggungjawab.

“Saya yakin ini bukan kali pertama, tetapi 11 ekor itu banyak dan saya sangat sedih. Ini khazanah dunia, Semporna dikenali disebabkan haiwan ini juga,” katanya.

Sebubungan itu, Jaujan menyarankan masyarakat setempat termasuk pimpinan peringkat kampung supaya sentiasa peka dan membuat laporan sekiranya terdapat kejadian sedemikian.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan untuk memantau dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat insiden seperti itu berlaku di kawasan mereka.

“Kita ada Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tabung Hidupan Liar (WWF) dan lain-lain, maklumkan kepada mereka.

“Kita perlukan kerjasama daripada semua pihak dan jangan bergantung kepada kerajaan dalam usaha memelihara penyu ini,” katanya.

Dalam kejadian semalam, sebanyak 11 bangkai penyu hijau ditemui di perairan Pantau-Pantau menerusi Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Bangkai penyu itu ditemui mereput selain keadaan bangkainya terburai manakala isinya pula dimasak dan dimasukkan ke dalam karung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|