680 paket minyak masak cuba diseludup

680 paket minyak masak cuba diseludup

Lahad Datu: Dua lelaki nekad melarikan diri dengan meninggalkan 680 paket minyak masak selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam kejadian di Sungai Bilis, Tanjung Labian, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, semua minyak masak bernilai RM1,870 itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Filipina.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semasa rondaan Op Benteng dijalankan, pihaknya mengesan sebuah bot pam yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, kedua-dua suspek terus melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebanyak 40 kotak minyak masak berada berhampiran bot berkenaan.

“Semua minyak masak bersubsidi itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Filipina,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua barangan berkenaan terus dirampas dan diserahkan ke Balai Polis Kencana untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua barangan termasuk bot dan enjin yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,070 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|