Enam Ahli Parlimen GRS sokong penuh ketegasan PM berkaitan Tuntutan Sulu

Enam Ahli Parlimen GRS sokong penuh ketegasan PM berkaitan Tuntutan Sulu

Kota Kinabalu: Enam Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa Kerajaan akan mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak, termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

Kenyataan bersama itu telah dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau); Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau).

Mereka merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah atas strategi dan pendekatan berkesan yang telah diambil dalam menangani isu tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu (pihak penuntut) yang telah memfailkan tuntutan di empat buah negara bermula dari tahun 2019.

“Sebagaimana yang dibentangkan oleh PM di Dewan Rakyat semalam, 15 Jun 2023, terkini Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan (“Exequatur”) yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020.

“Kami menyokong penuh ketegasan PM yang menyatakan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

“Dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan media bersama, hari ini.

Sehubungan dengan itu, mereka turut menggesa Kerajaan untuk membuat siasatan lanjut tentang tindakan mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping’.

“Ini termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam Pihak Penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan Kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023,” katanya.

Enam Ahli Parlimen GRS itu berkata, gesaan tersebut juga adalah sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan mantan Peguam Negara tersebut dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.

Tambahnya, pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap mantan Peguam Negara tersebut.

“Ahli-Ahli Parlimen GRS seterusnya menyeru Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam Kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya Negeri Sabah.

“Ini termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|