Ketua Menteri tegur warga asing perlu patuhi undang-undang PBT

Ketua Menteri tegur warga asing perlu patuhi undang-undang PBT

Kota Kinabalu: Warga asing yang ingin menjalankan perniagaan di negeri ini adalah diingatkan supaya terus mematuhi undang-undang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan yang tegas juga akan dikenakan kepada mana-mana pegawai perlesenan dikenalpasti terlibat pemberian lesen dengan mudah kepada warga asing tanpa mematuhi peraturan disediakan.

“Kita perlu ikut peraturan, jika warga asing mahu menjalankan perniagaan mereka di sini (Sabah) maka perlu patuh peraturan seperti yang dikeluarkan PBT.

“Dalam masa sama juga, kita akan mengambil tindakan juga kepada mereka (pegawai PBT) yang didapati memberikan lesen berniaga dengan sewenang-wenangnya kepada golongan itu, “katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui di Shangri-La Resort, Tuaran selepas menghadiri majlis angkat sumpah dan upacara penyampaian watikah pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi sesi 2023-2025.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Menteri turut menyeru pegawai kerajaan di setiap sektor negeri mengubah pendekatan dalam memudahkan sebarang urusan berkaitan pembangunan serta perniagaan yang memerlukan kelulusan daripada pihak mereka.

Tambahnya, selagi ia memenuhi syarat yang ditetapkan, ianya perlu disegerakan dalam memastikan impak dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.

“Kita mahu pegawai kerajaan ubah sikap mereka dengan sekiranya urusan tersebut memenuhi syarat ditetapkan, pendekatan memudah cara sebarang urusan perlu diambil.

“Ini kerana setiap perniagaan yang baik sudah tentu boleh membuka peluang kepada rakyat, ” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai upacara penyampaian watikah pelantikan itu, Hajiji berkata, tanggungjawab yang digalas oleh ahli majlis yang dilantik perlu dilaksanakan secara efisyen dalam memastikan pembangunan daerah Tuaran terus mapan di masa hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|