STAR Sabah sokong penuh pengambilaluhan kuasa kawal selia bekalan elektrik

STAR Sabah sokong penuh pengambilaluhan kuasa kawal selia bekalan elektrik

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) menyokong penuh pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik oleh negeri ini dan berharap akan melihat penamat kepada gangguan bekalan elektrik yang kerap di masa akan datang.

Setiausaha Agungnya, Rizal Johari berkata, Sabah sudah sekian lama mengalami gangguan bekalan elektrik yang kerap.

Menurut beliau, negeri ini mengalami antara tempoh yang paling teruk baru-baru ini, dengan gangguan bekalan elektrik yang kerap di beberapa tempat.

“Tetapi ini bukanlah sesuatu yang baru bagi kita di Sabah. Untuk masa yang sangat lama, ‘blackout’ telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita dan bagi kebanyakan orang, mereka sudah terbiasa dengannya.

“Kita semua tahu bahawa tenaga elektrik menjana pembangunan dan untuk membangunkan negeri, kita perlu menarik seberapa ramai pelabur.

“Jelas sekali, mereka mahu diyakinkan bahawa kita mempunyai bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai serta murah untuk menggerakkan perniagaan mereka.

“Sabah dikatakan sebagai negeri termiskin dan tidak lama dahulu, turut diumumkan lapan daerah termiskin di negara ini terletak di negeri kita.

“Jika kita tidak mengubah keadaan elektrik kita, kita tidak boleh mengubah keadaan ekonomi kita. Kita tidak boleh progresif dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi lampu hijau kepada Sabah untuk mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik pada 1 Jan 2024.

Hajiji berkata, sempena itu, Kerajaan Persekutuan digesa untuk memudahkan dan meneruskan proses bagi memastikan projek yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Generasi Sabah siap tepat pada masanya

Katanya, ini termasuk langkah pantas untuk meningkatkan bekalan elektrik di Pantai Timur, yang akan segera memulihkan margin rizab elektrik Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang September tahun ini.

Dalam pada itu, Hajiji dipetik sebagai berkata, bahawa ini akan menyediakan penyelesaian segera kepada kekurangan kapasiti akut di Sabah, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan persekutuan untuk menyelesaikan isu itu secara menyeluruh dan berkesan.

Sementara itu, Rizal berkata walaupun masalah elektrik di Sabah adalah isu warisan, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Hajiji telah mengambil tindakan konkrit untuk mengatasinya.

“Kerajaan mengambil tindakan kerana memahami bahawa untuk memastikan ‘enjin’ pembangunan berjalan, ia memerlukan kuasa yang boleh dipercayai dan mampan.

“Dan ia juga mahu mengawalnya kerana ia adalah arkitek masa depannya sendiri,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Sehubungan itu, Rizal berkata, beliau yakin pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya akan memberikan impak ketara kepada kehidupan rakyat Sabah, termasuk mereka yang tinggal jauh dari grid negeri di pedalaman.

Sementara itu, sesi taklimat mengenai pengambilalihan itu akan diadakan pada 15 Jun untuk Ahli Parlimen Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri.

“Saya berharap dapat mendengar berita baik selepas sesi taklimat,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|