KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Bangunan DUN Sabah, pada Khamis.
Hajiji yang tiba bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag pada jam 9:08 pagi di Dataran DUN Sabah, menerima tabik hormat sebelum bersama Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya menyambut ketibaan Tun Musa dan Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin mengikut istiadat rasmi.
Istiadat diteruskan dengan Tun Musa pemeriksaan kawalan kehormatan, diiringi lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, sebelum majlis rasmi berlangsung di Dewan Persidangan.
Pada majlis itu, Hajiji menyerahkan Teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah sebelum Tun Musa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan penggal persidangan berkenaan.
Sejurus selesai istiadat pembukaan, tetamu menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi dan seterus sesi bergambar rasmi bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Toh Puan.
