KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh asas ekonominya dengan menunjukkan daya tahan yang kukuh walaupun berdepan cabaran global dan domestik.
Perkara itu ditegaskan dalam Ucapan Dasar Kerajaan yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman, sempena pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 hari ini.
Menurut beliau, negeri itu kekal sebagai destinasi pelaburan berdaya saing dan berpotensi tinggi dalam menarik minat pelabur.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, Sabah telah memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran, baik di peringkat domestik mahupun global. Dalam tempoh tersebut, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi.
“Buktinya, pada tahun lalu, Sabah berjaya merekodkan sebanyak RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun 2024,” katanya.
Seiring itu, kerajaan negeri komited untuk terus memacu pembangunan secara inklusif dan mampan melalui pelbagai perancangan strategik.
Antara inisiatif utama ialah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang dilancarkan sebagai kerangka induk pembangunan negeri.
“Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0): 2026-2030 telah dilancarkan sebagai kerangka induk yang menerajui pembangunan negeri dengan mengekalkan tiga (3) teras utama iaitu Sektor Utama Pertumbuhan Ekonomi, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
“Pelan ini diperkukuhkan lagi dengan penekanan strategik terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI),” jelasnya.
Dalam pada itu, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), lebih 1,000 projek pembangunan dirancang dengan peruntukan melebihi RM12 bilion bagi merancakkan pembangunan negeri.
Langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Pada masa sama, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan infrastruktur, keterjaminan makanan serta agenda pendigitalan bagi memperkukuh daya saing Sabah.
Secara keseluruhan, perancangan yang dirangka ini bertujuan menjamin kesejahteraan rakyat di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global.
