PUTATAN: Usaha memperkasa kecemerlangan pendidikan terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 bagi kawasan Parlimen P.173 Putatan yang berlangsung di Hotel Pan Borneo, Putatan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, program tersebut merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2020 sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan pelajar, malah menjadi platform untuk meningkatkan motivasi dan semangat mereka agar terus berusaha mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
“Pelajar cemerlang merupakan aset penting kepada pembangunan negeri dan negara. Justeru, usaha menghargai pencapaian mereka perlu diteruskan sebagai galakan kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan yang turut dihadiri pemimpin tempatan, warga pendidik serta ibu bapa pelajar di Hotel Pan Borneo, dekat sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya turut melaksanakan Program SmartJawab SPM setiap tahun bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan, khususnya dalam mengoptimumkan pencapaian akademik.
Katanya, kejayaan pelajar juga tidak terlepas daripada kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti, yang memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Daerah Penampang yang mencatatkan pencapaian cemerlang dengan gred purata sekolah sebanyak 4.116, mengatasi purata negeri Sabah, selain peningkatan prestasi oleh Jabatan Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebahagian besar pelajar di kawasan Parlimen Putatan terdiri daripada golongan B40 dan M40, namun kekangan ekonomi tidak menjadi penghalang kepada kejayaan apabila terdapat pelajar daripada golongan tersebut yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang sehingga 10A dan 11A.
Sehubungan itu, pelbagai usaha akan terus diperkasa termasuk kerjasama dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan, di samping menangani isu kehadiran ke sekolah agar tidak menjejaskan prestasi akademik mereka.
