TUARAN: Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif untuk memperkasa warisan dan budaya Sabah dengan pembangunan Pemetaan Budaya Etnik (2026-2030) bermula tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata usaha lima tahun ini adalah untuk memastikan kepelbagaian etnik dan budaya Sabah ini didokumentasi secara sistematik bukan hanya untuk rujukan generasi kini dan akan datang tetapi juga rujukan kepada pelancong.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sodop Unduk Ngadau dan Pertandingan Akhir Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Daerah Tuaran di Shangri-La Rasa Ria di sini malam ini.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu, Majlis Sodop Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan bukanlah sekadar acara memperagakan busana tradisional, tetapi juga untuk memperkenalkan dan mengangkat keindahan serta keunikan warisan budaya suku kaum Kadazandusun Murut dan Rungus kepada generasi masa kini, katanya.
Hajiji turut mengalu-alukan inisiatif jawatankuasan penganjur memperkenalkan pertandingan RTK ini sebagai platform yang memberi ruang kepada generasi muda untuk menonjolkan keperibadian, bakat serta semangat kepimpinan mereka.
“Pertandingan ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja mengetengahkan potensi anak-anak muda di daerah ini, malah menjadi wadah untuk melahirkan generasi yang berkeyakinan, berwibawa dan mampu menjadi pemimpin masa depan yang akan terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sabah,” katanya.
Menurut beliau, Pesta Kaamatan merupakan warisan budaya yang amat berharga kepada rakyat Sabah yang bukan sahaja mencerminkan sejarah dan tradisi masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus, tetapi juga menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Untuk itu, Pesta Kaamatan ini perlu dijadikan sebagai medan untuk kita semua bersatu dalam kepelbagaian bagi mewujudkan kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.
Tema Pesta Kaamatan tahun ini “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” membawa makna yang sangat mendalam, katanya.
“Ia menggambarkan bagaimana hasil tuaian bukan sahaja melambangkan rezeki dan kesyukuran, tetapi juga menjadi simbol kebersamaan masyarakat dalam meraikan nilai perpaduan, saling menghormati dan keharmonian yang menjadi kekuatan negeri Sabah.
“Semangat inilah yang perlu terus kita pelihara agar warisan budaya ini bukan sahaja kekal hidup, tetapi terus menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara semua kaum dan lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Hajiji mahu Kaamatan terus menjadi pentas untuk mempromosikan kekayaan warisan budaya, produk pelancongan termasuk hasil pertanian di Sabah.
Beliau juga berharap minat terhadap warisan budaya Sabah ini dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain dan tidak hilang ditelan zaman.
