KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam mengurus tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan dibuat secara rasional dengan mengambil kira aspek kemanusiaan dan kedaulatan negeri.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata, kritikan pembangkang dan segelintir pihak terhadap bantuan yang disalurkan tanpa mengira status mangsa dilihat tidak matang serta tidak berpaksikan realiti pengurusan krisis.
“Banyak komen yang timbul sekadar mahu menonjol sebagai wira Sabah, namun hujah mereka bercelaru dan tidak disokong kematangan politik serta wawasan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas isu kedaulatan, Aksyah menjelaskan Malaysia sememangnya tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai obligasi terhadap UNHCR, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan penempatan tidak terancang terus berkembang.
Menurutnya, kawasan setinggan seperti Kampung Bahagia yang wujud sejak sekian lama berlaku dalam keadaan tidak bersistem dan tanpa kawalan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran besar.
“Realitinya, Hajiji kini berdepan tugas memperbetulkan keadaan lama ibarat ‘mencuci pinggan yang dipecahkan oleh orang lain’,” katanya.
Beliau berkata, langkah kerajaan negeri untuk membangunkan semula kawasan berkenaan bukan bertujuan memanjakan pendatang tanpa izin (PTI), sebaliknya usaha mengembalikan kawalan serta kedaulatan terhadap tanah negeri.
“Apabila kawasan disusun secara teratur, kerajaan akan mempunyai data penghuni, memudahkan penguatkuasaan undang-undang serta kawalan keselamatan yang lebih berkesan,” katanya.
Dalam masa sama, Aksyah menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit kerana sebelum ini mendesak penghapusan setinggan, namun mengkritik usaha penyusunan semula yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan diambil Hajiji bukan sahaja bersifat kemanusiaan, malah bertujuan mengelakkan pembaziran wang rakyat akibat kebakaran berulang yang sering berlaku sebelum ini.
“Langkah ini jelas untuk membersihkan kawasan ‘hitam’ yang sekian lama tidak ditangani secara serius, termasuk dari sudut perundangan,” katanya.
Aksyah berkata, tindakan mengekalkan status quo penempatan tidak terancang hanya akan menjejaskan masa depan Sabah, malah boleh dianggap sebagai bentuk sabotaj terhadap pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Hajiji yang disifatkan berani dalam membetulkan kelemahan pentadbiran terdahulu demi memastikan keselamatan dan kedaulatan Sabah terus terpelihara.
