PUTATAN: Masyarakat di kawasan Parlimen Putatan digesa mengambil peluang inisiatif kerajaan dalam melaksanakan program berbentuk kesedaran dan saringan kesihatan dari semasa ke semasa.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, selain dapat mendapat khidmat nasihat daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pembabitan program berbentuk komuniti itu sekaligus mampu membentuk masyarakat peka tentang isu penyakit dan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan diri.
Jelas beliau, ia dalam masa yang sama dapat mengelak daripada kesesakan di klinik atau hospital kerajaan terutamanya di Putatan yang melibatkan peringkat saringan dan pemeriksaan kesihatan.
“Masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Putatan perlu cakna sekiranya ada program berbentuk kesedaran kesihatan dan ambil peluang menyertai taklimat atau saringan yang dilakulan dalam aktiviti program tersebut.
“Dalam membina rakyat yang peka dengan kesihatan masing-masing, program sebegini amat berimpak tinggi selain meningkatkan kesedaran risiko penyakit-penyakit sedia ada.
“Selain dapat menjimatkan masa sekiranya mahu mendapatkan pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan, program sebegini juga efisyen bagi semua lapisan masyarakat, “katanya.
Shahelmey berkata demikian selepas berucap bersempena Program Jejak Kanser anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.173 Putatan dan Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) di Dewan Serbaguna Kg Muhibbah, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya, Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan; Mohd Sufian Matin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan program atau kempen kesedaran kesihatan di Putatan bagi mengurangkan risiko penyakit kanser di kalangan masyarakat umum.
“Program saringan jaringan ini merupakan satu langkah awal dalam kesedaran menjaga kesihatan di kalangan masyarakat kita bagi mencegah mudarat penyakit kanser.
“Pada masa sama, ianya merupakan langkah positif menuju kepada rakyat Putatan kita lebih sihat dan cergas daripada permasalahan penyakit-penyakit seperti kanser ini dari masa ke semasa, “katanya.
