KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan agensinya tahun ini bagi memperkukuh industri pelancongan dan memelihara warisan budaya Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata selain merangsang ekonomi negeri, inisiatif itu turut menyumbang kepada usaha pemuliharaan nilai warisan budaya serta kelestarian alam semula jadi.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM38.70 juta bagi menambah baik fasiliti dan infrastruktur sedia ada, termasuk pelaksanaan beberapa projek utama tahun ini.
Antara projek terbabit ialah menaik taraf kemudahan di Petagas War Memorial Park, pembinaan Muzium Etnik Ranau, menaik taraf Pusat Kebudayaan Penampang serta peningkatan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom.
“Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif memperkasa warisan dan budaya Sabah melalui pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 bagi memastikan kepelbagaian etnik didokumentasi secara sistematik untuk rujukan generasi kini dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam. Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman berkenan melancarkan Majlis Hari Etnik Sabah.
Hajiji berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan budaya tempatan kekal relevan dalam dunia yang sentiasa berubah, di samping dipelihara oleh generasi muda.
Beliau berharap persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa masing-masing agar tidak pupus, selain memperkasa produk budaya sebagai tarikan pelancong.
“Usaha ini diyakini mampu membantu meningkatkan kehadiran pelancong sekali gus mencapai sasaran empat juta pelancong ke Sabah tahun ini,” katanya.
Menurutnya, penganjuran Hari Etnik Sabah menjadi wadah meraikan kepelbagaian budaya dan warisan etnik, selain simbol keharmonian serta perpaduan rakyat negeri ini.
Katanya, penganjuran yang memasuki tahun keenam itu turut menampilkan elemen baharu iaitu perarakan budaya yang menghimpunkan pelbagai etnik dari seluruh Sabah.
“Bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, ‘Budaya Kita, Kita Jaga’, ia menuntut tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara budaya sebagai asas jati diri, perpaduan sosial dan kebanggaan rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk badan kebudayaan berasaskan etnik dan penggiat seni yang menjayakan sambutan berkenaan.
“Hari Etnik bukan sahaja platform memperkenalkan khazanah warisan etnik, malah membuktikan perbezaan agama, budaya dan latar belakang bukan jurang pemisah, sebaliknya kekuatan yang memperkayakan identiti Sabah serta memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya.
