Sabah FC juara SMJ Cup 2024

Sabah FC juara SMJ Cup 2024

KOTA KINABALU: Skuad Sang Badak menutup kejohanan perlawanan pra-musim dengan bergaya selepas berjaya menundukkan KL City FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi final Piala SMJ 2024 di Stadium Likas malam tadi.

Gol tunggal pemain import Sabah, Ramon Manchado menerusi sepakan penalti pada minit ke-63 sudah cukup membawa bekalan pasukan negeri menghadiahkan piala kepada peminat setia Sabah FC.

Aksi kedua-dua pasukan dilihat mendebarkan sejak seawal minit ketiga dengan beberapa percubaan bertubi-tubi daripada Ramon dan Daniel Ting namun berjaya digagalkan oleh penjaga gol KL City FC, Muhd Azri Ghani.

KL City FC turut beraksi dengan baik pada malam ini dan hampir menghampakan penyokong tuan rumah menerusi satu sepakan percuma pada minit ke-21 yang diambil kaptennya, Paulo Josue akan tetapi, ketangkasan Ramzi Mustakim berjaya mendakap bola dengan mudah.

Sabah FC dan KL City FC kemudiannya melancarkan beberapa gerakan berbahaya namun tuah nampaknya milih pasukan tuan rumah apabila keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Piala dan hadiah SMJ Cup 2024 disampaikan oleh Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Kassim Razali.

Untuk rekod, tempat ketiga dimiliki oleh pasukan negeri jiran, Kuching City FC yang berjaya menumpaskan Hougang United FC dengan jaringan 2 berbalas 0 di Stadium Likas pada sebelah petang tadi.

SMJ Cup 2024 merupakan perlawanan persahabatan buat skuad Sang Badak sebelum menempuh musim Liga Super Malaysia menentang Penang FC pada 12 Mei depan di Stadium Likas.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|