Polis cekup tiga lelaki terlibat kes pecah rumah

Polis cekup tiga lelaki terlibat kes pecah rumah

TAWAU:Tiga lelaki tempatan dicekup polis selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti pecah rumah di sekitar daerah Tawau dalam serbuan di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, ketiga-tiga suspek tersebut cuba untuk melarikan diri namun gagal dalam operasi yang dilakukan oleh sepasukan anggota Balai Polis Tawau.

“Mereka berjaya ditahan setelah berlaku sedikit pergelutan dan hasil pandu arah daripada suspek juga, pihak polis berjaya menemui beberapa barang kes disyaki barang yang dicuri semasa pecah rumah iaitu televisyen, komputer riba dan beberapa barang lain.

“Kesemua suspek yang berumur di antara 34 hingga 45 tahun dan barang kes dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya jika sabit kesalahan.

“Polis Tawau terus komited memerangi jenayah dan sentiasa melakukan usaha bagi mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dengan kes jenayah, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|