KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri digesa untuk menghantar bantahan rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS, Datuk Fredian Gan berkata, ini memandangkan terdapat beberapa perkara yang kelihatan mencurigakan di sebalik penubuhan JKDM tersebut dan ia juga dilihat sebagai memberi gambaran negatif kepada konsep Kerajaan Madani.
Beliau berkata, sebelum ini, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai secara terbuka telah meminta Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menilai kewajaran penubuhan JKDM yang bakal menimbulkan kekeliruan dan perpecahan rakyat di peringkat kampung.
“Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sebelumnya turut menyuarakan bantahan.
“Jadi kami berpendapat, adalah wajar supaya kerajaan negeri akan menghantar bantahan rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia untuk membatalkan pelaksanaan penubuhan JKDM.
“Penubuhan sebuah lagi jentera pentadbiran kampung Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM ) bercanggah dengan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Cap 132 dan ianya secara unilateral oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW) jelas membelakangi undang-undang negeri,” katanya.
Fredian dalam masa juga mempersoalkan ketirisan lain dengan penubuhan JKDM dilihat yang hanya tertumpu kepada Sabah sahaja dan bukannya negeri-negeri lain.
Deasoka