KPKM jamin bekalan beras cukup menjelang Kaamatan, Hari Gawai

KPKM jamin bekalan beras cukup menjelang Kaamatan, Hari Gawai

TAWAU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras mencukupi terutamanya ketika menjelang sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai akan datang.

Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, stok bekalan beras sehingga 14 Mei tahun ini adalah sebanyak 1,037,381 tan metrik.

Katanya, ia meliputi sebanyak 200,000 tan metrik simpanan stok kerajaan dan 837,381 tan metrik stok dagangan berdasarkan status semasa kedudukan stok beras negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 57,500 tan metrik simpanan stok kerajaan ditempatkan di gudang-gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Sabah, manakala di Sarawak sebanyak 33,000 tan metrik.

“Justeru, jumlah stok sedia ada adalah mencukupi bagi menampung keperluan beras di kedua-dua wilayah ini serta semenanjung Malaysia bagi tempoh sehingga lima bulan,” katanya.

Beliau ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja pemeriksaan ke gudang stok penimbal beras di Tawau, Sabah dan makan malam bersama media, di sini, semalam.

Menurutnya, KPKM mahukan BERNAS terus memastikan stok beras negara sentiasa cukup dan terjamin serta berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa.

“Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras turut diarah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi serta dijual pada harga yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga menyambut baik tekad dan usaha kerajaan Sabah dalam usaha meningkatkan kadar sara diri (Self-Sufficiency Ratio – SSR) beras di negeri ini.

“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti padi di Sabah adalah menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 di seluruh negara.

“Selain itu, menaikkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak daripada RM900 kepada RM1,300 per tan metrik berkuatkuasa 15 Februari 2024,” katanya.

Arthur berkata, KPKM juga akan melaksanakan projek rintis Program SMART SBB Ala Sekinchan di Kampung Kesapang Tengah, Kota Belud.

Katanya, projek yang berkeluasan 27.81 hektar itu dijangka bermula pada Julai ini melalui penggunaan elemen mekanisasi dan automasi.

“KPKM dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah akan menggalakkan penggunaan varieti benih padi sah bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.

“Kerjasama itu juga merangkumi usaha untuk membawa masuk benih daripada Semenanjung yang berkualiti, rentang penyakit dan mempunyai hasil yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga telah memberikan subsidi sebanyak RM950 per tan metrik pada harga borong bagi Beras Putih Import (BPI) mulai 5 Oktober tahun lalu.

“Ia bagi mengimbangi bekalan serta harga beras di Sabah termasuk Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 111,478 tan metrik BPI telah dibekalkan kepada pasaran di Sabah dengan peruntukan subsidi BPI berjumlah kira-kira RM23.75 juta sebulan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|