Modul UMS SPRINT-ESG martabatkan pembangunan mampan pelajar

Modul UMS SPRINT-ESG martabatkan pembangunan mampan pelajar

KOTA KINABALU: Menyedari kepentingan nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam mencapai pembangunan mampan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif mengangkat konsep ESG dalam pengajaran dan pembelajaran kursus kokurikulum berkredit.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS menghasilkan Modul Mahasiswa Prihatin UMS Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, atau UMS SPRINT-ESG.


Menurut Pengarah PKPP, Profesor Madya Dr. Jurry Foo, universiti berperanan dalam mengajar nilai ESG dengan mewujudkan persekitaran inklusif yang menghormati perspektif yang berbeza.


“Selain itu, kita juga mahu menggalakkan tadbir urus beretika disemai dalam kalangan siswa-siswi sebagai pemimpin masa depan melalui pendidikan.


“Nilai ESG dapat memastikan keseimbangan antara tindakan manusia dan alam semula jadi, menggalakkan amalan mesra alam serta memupuk sikap mengutamakan tanggungjawab sosial, keterangkuman dan kepelbagaian,” katanya.


Beliau memaklumkan, sebanyak 21 program telah dirancang dan dilaksanakan pada fasa 1 pelaksanaan modul tersebut.


“Misalnya program PLANTASIA dan Kebun LESTARI yang menumpukan kepada nilai alam sekitar, Program Batik for Society dan Program Jelajah 3M yang berfokus kepada nilai sosial dan program pengenalan sistem Tagal yang menyentuh nilai tadbir urus khusus kepada pengurusan alam sekitar berasaskan komuniti.


“Modul ini penting dalam membentuk masyarakat yang prihatin kepada kesejahteraan sejagat dari aspek alam sekitar, sosial dan pengurusan kerana mahasiswa adalah bakal peneraju kepimpinan pada masa akan datang, yakni sebagai perancang dan pembuat keputusan untuk bangsa dan negara,” katanya.

Ujar Jurry, adalah penting bakal pemimpin masa depan dibekalkan dengan kebolehan mengurus dan menangani isu alam sekitar dan sosial seperti perubahan iklim, kemiskinan, jantina dan ketidaksamaan sosial, keselamatan data dan privasi yang rencam.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|