KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Pemuda GRS, Iskandar Zulkarnain Ramli menyelar tindakan beberapa pemimpin UMNO Sabah yang mengkritik Ketua Menteri supaya meletakkan jawatan susulan isu tuntutan 40 peratus, baru-baru ini.
Jelasnya, kritikan tidak berasas itu seolah menyalahkan kesemuanya terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sedangkan Ketua Menteri terdahulu telah menegaskan kerajaan tidak akan berganjak akan tuntutan berkenaan.
Menurutnya lagi, lantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang turut dipersoalkan juga tidak ada kena mengena dan beliau berasakan UMNO Sabah perlu berpolitik secara matang.
“Saya sudah jangka kritikan dari UMNO akan keras, tetapi tidaklah sampai tahap suruh Ketua Menteri Sabah letak jawatan.
“Seperti dimaklumi, YAB Ketua Menteri tidak wajar dipersalahkan dalam situasi di mahkamah pada 16 Mei lalu. Apatahlagi, beliau tidak dimaklumkan langsung daripada Peguam Negeri (AG) tentang hal itu. Pada saya, pihak yang wajar dipertanggungjawabkan adalah SKN dan AG yang tidak peka dan serius dalam isu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membalas kenyataan daripada Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mengkritik keibawaan Hajiji dan meminta Ketua Menteri untuk meletak jawatan susulan isu tuntutan 40 peratus di mahkamah Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Sementara itu, Iskandar Zulkarnain pada masa yang sama turut menegaskan bahawa Hajiji dan GRS tidak akan berganjak dalam isu mempertahankan hak Sabah.
“Kalau bukan Hajiji sebagai KM pertama yang ‘fight’ untuk review sampai sekaranglah kita terima RM26.7 Juta sahaja, kalau bukan Hajiji yang fight isu Hak Wilayah Laut mungkin sampai sekarang Sabah tidak merasa hasil dari sempadan lautnya, kalau bukan Hajiji jadi KM rakyat tidak akan rasa pelbagai inisiatif hasil dari tuntutan berterusan ini,” katanya lagi.
Deasoka