Maritim Malaysia Zon Semporna patahkan aktiviti bom ikan

Maritim Malaysia Zon Semporna patahkan aktiviti bom ikan

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya mematahkan aktiviti pengeboman ikan dan merampas empat buah bot dalam kejadian di Timur Laut Tanjung Tabu- Tabu, Semporna petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, aktiviti tersebut dipatahkan pihaknya yang sedang menjalankan aktiviti rondaan rutin sebelum terserempak dengan keempat-empat bot tersebut.

“Setibanya di lokasi, anggota bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan empat buah bot tiada nombor pendaftaran yang sedang berapung di kawasan cetek dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot bersama awak-awaknya telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di dalam kesemua bot didapati sejumlah ikan yang dianggarkan hampir 50 kilogram, serta botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan juga telah dijumpai di atas dua buah bot yang dirampas,” katanya.

Jelas beliau, hasil nilai rampasan dianggarkan hampir RM20,000 manakala kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).

“Kita tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pengeboman ikan kerana ia bukan sahaja salah disisi undang- undang malah boleh menjejaskan aktiviti pelancongan terutama para penyelam.

“Tambahan lagi aktiviti ini akan memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian,” katanya.

Menurut beliau, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah, orang ramai terutamanya komuniti maritim diminta agar menyalurkan maklumat dan aduan kepada Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|