Kekalkan perpaduan, bangunkan Sabah bersama: Hajiji

Kekalkan perpaduan, bangunkan Sabah bersama: Hajiji

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diminta agar terus mengekalkan perpaduan dan bersama-sama mengukuhkan iltizam untuk membangunkan dan memajukan negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang dipimpinnya sejak lebih tiga tahun lalu telah mengharungi pelbagai bentuk ujian dan cabaran.

“Bermula serangan pandemik hinggalah membawa kepada isu ekonomi dan pergolakan politik. Namun, berkat kesabaran, kecekalan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, semuanya kita hadapi dengan penuh tabah dan bijaksana.

“Dalam masa sama, saya juga berasa bangga kerana negeri Sabah yang dianugerahi kepelbagaian budaya dan kepercayaan, membolehkan kita hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keadaan ini telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik. Inilah pentingnya keamanan biarpun berbeza agama, budaya dan kepercayaan,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan pertugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu berkhidmat demi untuk negara termasuk pada musim perayaan.

“Tidak dilupakan kepada mereka yang serba kekurangan untuk terus diingati dan dibantu terutama pada musim perayaan ini. Saat ini juga adalah masanya untuk kita saling kunjung mengunjungi untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak keluarga, jemaah menteri dan kerajaan negeri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|