Penurunan 42 peratus miskin tegar di Sabah: Hajiji

Penurunan 42 peratus miskin tegar di Sabah: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah merekodkan penurunan sebanyak 42 peratus yang masih berstatus miskin tegar adalah seramai 12,555 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat hujung bulan Mac lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rekod berkenaan adalah berdasarkan angka locked figure di dalam sistem eKasih di seluruh negeri.

“Namun demikian, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Negeri Sabah ke-16, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Sekong, Alias Sani berhubung kedudukan kerajaan membawa negeri ini keluar daripada kedudukan tercorot kemiskinan di Malaysia.

Sementara itu, Hajiji berkata, pengukuran kadar kemiskinan secara prinsip diguna pakai menggunakan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar.

“Bermula tahun ini (2024), pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742.

“Manakala, Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218,” katanya.

Jelas beliau, untuk penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah menjelang tahun 2024 ataupun 2025.

Tambahnya, Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah akan dilaksanakan secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Hajiji berkata, program jangka masa pendek merangkumi lima (5) program iaitu program MySMJ Profiling, MySMJ Kerja PBT, MySMJ Kerja DO, MySMJ Kerja GLC dan MySMJ Kerja Industri.

“Manakala, program jangka masa sederhana melibatkan lima program, antaranya MySMJ: Tani, MySMJ: Mikro, Rumah Mesra SMJ, MySMJ: Tour dan MySMJ: Care. Bagi jangka masa panjang, terdapat dua Program iaitu MySMJ: Modal Insan dan MySMJ: Teroka.

“Secara prinsipnya, bagi tujuan pemadanan atau intervensi bantuan yang bersesuaian kepada miskin tegar, program ini akan meliputi lima aspek utama iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan,” katanya.

Sementara itu, beliau dalam sidang yang sama mendedahkan salah satu program di bawah Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah adalah Program MySMJ Kerja.

“Faktor akses peluang pekerjaan kepada golongan miskin ini juga telah dikenal pasti dalam isu yang membelenggu golongan ini.

“Berdasarkan data locked figure, didapati sebanyak 9,215 KIR ataupun 41 peratus tidak mempunyai sebarang sijil pelajaran.

“Perkara ini, telah mengekang kepada keupayaan Ketua Isi Rumah (KIR) untuk mencari peluang pekerjaan sehingga terpaksa melakukan kerja bermusim seperti nelayan, petani dan pekerja buruh di kampung,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|