Cubaan seludup minyak petrol tumpas

Cubaan seludup minyak petrol tumpas

KUDAT: Dua warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan minyak petrol di perairan Kudat, semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, kedua-dua suspek ditahan di kawasan empat batu nautika timur laut, Pulau Kankamat.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, ketika kejadian, sepasukan anggota menaiki bot ronda Zon Maritim Kudat telah berjaya mengesan bot suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Melalui pemeriksaan yang dilakukan, dua individu didapati berada di dalam bot berkenaan merupakan warga Filipina berumur lingkungan 19 dan 51 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan kedua-dua individu terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut juga turut menemui sejumlah 12 tong berwarna biru berisi minyak petrol dibawa bot berkenaan tanpa sebarang permit yang sah disyaki cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.

Jelas beliau, suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih kurang RM15,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|