Wanita mengaku tidak bersalah guna dokumen palsu mohon pembiayaan projek

Wanita mengaku tidak bersalah guna dokumen palsu mohon pembiayaan projek

Kota Kinabalu: Seorang bekas pemilik syarikat mengaku tidak bersalah menggunakan dokumen palsu bagi memohon pembiayaan projek pembersihan bernilai RM150,000 pada 2014 ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Sarah Diana Michele Durai, 44, berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama atas dakwaan menggunakan Surat Tawaran Kerja-Kerja Projek Membersih Kawasan Kem Lok Kawi bagi tempoh kontrak dari 1 April 2014 sehingga 1 April 2015, bertarikh 21 Mac 2014 yang sebenarnya adalah palsu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita berkenaan yang kini bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Perniagaan di WK Consortium Sdn Bhd, didakwa menggunakan dokumen itu untuk memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress bernilai RM150,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Permohonan itu didakwa dibuat atas nama syarikat milik tertuduh iaitu Kekal Bersama SZ Enterprise yang dikemukakan kepada Pejabat MARA Negeri Sabah di Ruang Singgah Mata 4, Asia City, di sini pada 25 Mac 2014.

Hakim Jason Juga kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan RM5,000 deposit dan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali, manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh turut diberi amaran tidak mengganggu saksi pendakwaan bagi mengelak ikat jamin yang diberikan mahkamah dibatalkan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Sylvester Kuan dan Siti Mahsuri Dicky.

Sebutan semula untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan (PTCM) ditetapkan pada 12 April depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|