LAHAD DATU: Mahkamah Majistret di sini hari ini telah menetapkan 27 Jun sebagai tarikh baharu bagi sebutan semula kes 13 remaja lelaki atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di kolej vokasional di sini pada Mac lalu.
Tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.
Mereka semua juga didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, Jika sabit kesalahan.
Prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan pesalah di bawah umur, selain pemberita termasuk anggota keluarga mangsa turut diperintahkan supaya tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao manakala tujuh daripada 13 tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.
Di samping itu seorang lagi pesalah diwakili peguam Abdul Gani Zelika manakala lima tertuduh lain tidak diwakili peguam.