Kerajaan negeri komited pembangunan belia

Kerajaan negeri komited pembangunan belia

BEAUFORT: Kerajaan negeri komited kepada pembangunan belia di negeri ini dalam melahirkan individu yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan di masa hadapan.

Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Mazlan Manan berkata, untuk tujuan demikian, kerajaan telah memberi komitmen dengan sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Sabah 2024 yang dibentangkan tahun lalu.

Jelasnya, peruntukan ini adalah untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah.

“Peningkatan peruntukan pada tahun ini juga jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan belia di negeri ini.

“Ia kerana kita menyedari belia adalah aset dan golongan yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Sebab itu juga, pada tahun ini kerajaan bersetuju memperuntukkan RM10 juta bagi meneruskan inisiatif Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS). Inisiatif ini membabitkan bantuan kepada belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan serta bantuan memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Semarak Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Pedalaman Bawah 2024 bagi Daerah Beaufort di SMK Beaufort III, semalam.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Mazlan yang juga Pengerusi Skuad AADK Negeri Sabah berkata, Semarak HBN adalah antara program yang penting untuk menghargai peranan belia dalam pembangunan daerah dan negeri ini.

“Di samping itu, ia menjadi platform untuk memupuk semangat kepemimpinan dalam kalangan generasi muda.

“Program-program dan aktiviti seperti ceramah motivasi, pertandingan sukan, pameran, dan forum memberikan peluang untuk belajar, bertukar pendapat, dan mendorong pembangunan diri yang holistik,” katanya.

Hadir sama majlis itu adalah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort (Sektor Pengurusan Sekolah) Mohd Said Awang Damit dan Pengetua SMK Beaufort III; Rujimah Taip.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|