LAHAD DATU: Hari ini akan diadakan sebutan kes 13 remaja yang didakwa atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki di Kolej Vokasional.
Menurut sumber, kesemua tertuduh akan dibawa ke mahkamah sekitar pukul 9.00 pagi ini.
Pada 1 April lalu di Mahkamah Lahad Datu ,mereka yang berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan,17 tahun di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.
Kesemua suspek remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh pada prosiding secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding bermula jam 9 pagi itu, hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada dalam bilik bicara kerana kes membabitkan juvana.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao, manakala dua daripada tertuduh diwakili peguam, Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki. Baki 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 16 Mei iaitu hari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan.
Deasoka