Wanita 60 tahun derma sepasang mata

Wanita 60 tahun derma sepasang mata

Kota Kinabalu: Seorang wanita tempatan yang dikenali sebagai mendiang Laini Sukat berusia 60 tahun menjadi penderma organ kedua di Sabah bagi tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, mendiang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ranau.

“Pihak keluarga telah memaklumkan kepada pihak hospital bahawa mendiang pernah berhasrat menderma organ setelah pemergiannya dan seluruh ahli keluarga terdekat menyokong hasrat murni tersebut.

“Kes ini kemudian dirujuk ke Pusat Sumber Transplan Sabah, Hospital Queen Elizabeth untuk penilaian kesesuaian, pengurusan logistik dan koordinasi pendermaan.

“Pendermaan sepasang kornea (mata) telah disempurnakan di Hospital Queen Elizabeth.

“Manakala, pembedahan transplan kornea turut berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan di Hospital Queen Elizabeth,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemuliaan hati penderma dan seluruh ahli keluarga kerana memberikan anugerah kehidupan kepada pesakit yang memerlukan.

“Semoga roh mendiang berehat dalam damai dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi waktu yang sukar ini.

“JKNS turut merakamkan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (IPD Ranau) dan Mahkamah Negeri Sabah (Mahkamah Majistret) di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan kes yang melibatkan medikolegal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rose Nani turut menyeru orang ramai untuk tampil mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan memaklumkan hasrat murni tersebut kepada ahli keluarga terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|