Sabah FC mampu bermain lebih baik – Kim Swee

Sabah FC mampu bermain lebih baik – Kim Swee

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya Sabah FC mampu bermain dengan lebih baik lagi pada aksi pertama Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Likas, 25 Februari ini.

Beliau berkata, kepercayaan itu berdasarkan penambahbaikan yang akan dibuat selepas melihat tiga perlawanan persahabatan pra musim yang menyaksikan Sabah cemerlang dalam ketiga-tiga perlawanan.

Malam tadi, skuad Sang Badak menundukkan Tampines Rovers FC dari Singapura 3-0 ke, sekali gus melengkapkan tiga kemenangan berturut-turut selepas menentang Melaka FC 4-0 dan Geylang International FC juga dari Singapura, 6-0, sebelum ini.

Kim Swee mengakui tiga perlawanan persahabatan itu penting bagi mengenal pasti kelemahan dan kelebihan dalam usaha memantapkan pasukan bagi menghadapi cabaran musim baharu Liga Super.

“Corak permainan masih ada lagi kekurangan, namun tiga perlawanan ini penting untuk saya mengenal pasti kelemahan kita dan juga apa kebaikan yang perlu kita lakukan.

“Saya percaya dengan tiga perlawanan sebelum bermain pada perlawanan pertama (Liga Super) nanti, kita dapat memperbaiki lagi dan berada pada tahap yang lebih baik,” katanya selepas aksi perlawanan menentang Tampines Rovers, malam tadi.

Sementara itu, katanya masih terlalu awal untuk beliau memikirkan mengenai prestasi pemain import, sebaliknya penilaian akan dibuat apabila Liga Super bermula.

Bagi musim 2023, Sabah FC setakat ini dibarisi tujuh pemain import dengan lima daripadanya adalah pemain baharu, masing-masing dua dari Brazil iaitu Gabriel Peres dan Jailton Paraiba, Telmo Castanheira (Portugal), Jacob Njoku (Nigeria) dan Min Ko Kwang (Korea Selatan).

Dua pemain import sedia ada yang dikekalkan sejak musim lalu ialah Saddil Ramdani dari Indonesia dan Park Taesu dari Korea Selatan.

Katanya, setakat ini hanya tujuh pemain import berkenaan akan bersama Sabah FC, namun tidak menolak kemungkinan ada penambahan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain.

“Kita perlu lihat sudut kewangan, yang penting saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan dan buat masa ini tiada perancangan untuk mengambil sesiapa lagi. Namun kita mempunyai beberapa hari lagi sebelum tarikh tutup pendaftaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|