Sabah FC mampu cipta sejarah – Shahelmey

Sabah FC mampu cipta sejarah – Shahelmey

Kota Kinabalu: Skuad Sabah FC mampu mencipta sejarah dan membawa kejayaan dalam arena bola sepak negeri seiring komitmen barisan pengurusan, jurulatih dan pemain memajukan pasukan.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang turut berharap agar skuad Sang Badak dapat dijadikan contoh dan inspirasi generasi muda dalam sukan bola sepak.

Beliau turut menyatakan harapannya agar pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu dapat beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan dan membawa pasukan ke aras yang lebih tinggi.

“Selain itu, saya pasti setiap perancangan dan strategi yang telah diatur oleh pihak pengurusan dan pasukan akan berjalan lancar serta membuahkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program hari terbuka Sabah FC di Stadium Likas, di sini, petang semalam.

Pada majlis itu, Shahelmey turut melancarkan jersi baharu pasukan Sabah FC yang dinamakan ‘Home’, selain jersi ‘Sumandak’ untuk aksi di gelanggang lawan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Shahelmey juga adalah menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah FC dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Beliau turut menyatakan harapan agar Sabah FC dan SAFA dapat berganding bahu bersama-sama memainkan peranan dalam merealisasikan impian meletakkan nama Sabah di persada tertinggi.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, kami akan sentiasa komited dan memberi sokongan padu kepada pasukan negeri dalam apa jua aktiviti sukan yang menjadi medium penyatuan masyarakat negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|