40,148 calon duduki SPM di Sabah

40,148 calon duduki SPM di Sabah

Kota Kinabalu: Seramai 40,148 pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di 314 pusat peperiksaan di Sabah.

Hari ini ialah permulaan ujian bertulis SPM 2022 yang akan berlangsung selama hampir sebulan iaitu sehingga 15 Mac depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD), Mohd Zaini Yanin, berkata daripada jumlah pelajar terbabit, seramai 36,026 orang adalah calon Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Katanya, semua calon terbabit menduduki SPM di 251 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri.

“Bakinya ialah calon Sekolah Agensi Kerajaan iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seramai 456 orang membabitkan lima pusat peperiksaan dan calon Sekolah Menengah Agama Negeri seramai 257 orang yang membabitkan enam pusat peperiksaan.

“Selain itu, ada juga calon dari Sekolah Swasta Berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu seramai 1,242 orang yang membabitkan 16 pusat peperiksaan, manakala seramai 2,167 orang lagi adalah calon persendirian yang menduduki SPM di 36 pusat peperisaan,” katanya.

Sementara itu, katanya turut menduduki SPM 2022 di Sabah ialah seramai 183 calon berkeperluan khas (CBK) dengan jumlah paling ramai bagi kategori masalah pembelajaran iaitu seramai 86 pelajar.

Katanya, ia kemudian diikuti calon kurang upaya fizikal (26), kurang upaya pendengaran (24), kurang upaya penglihatan (rabun) (24), kurang upaya pelbagai (15), kurang upaya pertuturan (lima) dan kurang upaya penglihatan (buta) seramai tiga orang.

Bagi jumlah petugas, katanya seramai 15,281 orang terbabit sepanjang peperiksaan SPM kali ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,143 orang ialah petugas Ujian Amali Sains, diikuti petugas Ujian Bertutur Bahasa Melayu (3,046), petugas Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (2,094), petugas Ujian Mendengar Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris (3,499) dan petugas Ujian Bertulis (3,499),” katanya.

Sementara itu, mengulas langkah jabatan jika ada calon terjejas akibat bencana seperti banjir atau sakit, beliau berkata, calon perlu menghubungi sekolah bagi memaklumkan masalah yang dihadapi pelajar terbabit.

Katanya, pihak sekolah kemudian perlu menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir melalui Op Payung yang digerakkan bersama pelbagai agensi bagi membantu calon SPM di negeri ini jika berlaku bencana sepanjang tempoh peperiksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|