SESB rugi RM20 juta setahun akibat curi elektrik

SESB rugi RM20 juta setahun akibat curi elektrik

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merekodkan kerugian sebanyak RM20 juta setahun akibat aktiviti penyambungan elektrik secara haram di Sabah dan Labuan.

Malah, 25 peratus gangguan bekalan elektrik adalah berpunca daripada kegiatan berkenaan.

Kakitangan SESB menjalankan operasi membuka pepasangan haram yang dipasang di tiang elektrik utama di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.

Pengurus Besar Pembahagian Ir Addie Ahmad berkata, terdapat 193 koloni setinggan seluruh Sabah dan Labuan dengan anggaran 31,000 rumah yang dipercayai mendapatkan bekalan elektrik secara tidak sah.

“Sebanyak 25 peratus gangguan elektrik adalah betpunca daripada kegiatan sambungan elektrik haram dan tidak selamat dengan merekodkan anggaran kerugian sebanyak RM20 juta setahun disebabkan aktiviti ini.

Addie Ahmad menunjukkan sebahagian wayar pepasangan haram yang berjaya dibuka di Kampung Numbak.

“Oleh itu, hari ini kita melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras penyambungan haram di Kampung Numbak iaitu salah satu koloni setinggan yang dikenal pasti melakukan penyambungan haram membabitkan hampir 1,000 rumah.

“Operasi dilaksanakan bukan sahaja untuk memastikan SESB tidak mengalami kerugian tetapi memastikan faktor keselamatan dititik beratkan berikutan penyambungan secara tidak sah ini melibatkan pendawaian yang tidak mengikut piawaian pihak kawal selia serta struktur dan susun atur rumah yang tidak selamat,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, hari ini.

Ir Addie Ahmad ketika ditemui media selepas operasi bersepadu banteras kegiatan penyambungan elektrik haram di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pembanterasan ini juga bagi mengelakkan isu keselamatan kebakaran termasuklah litar pintas disebabkan beban elektrik yang melampau hasil daripada penyambungan haram terbabit.

“Usaha ini juga bagi mengelakkan lebih ramai kemalangan maut disebabkan sentuhan daripada wayar yang tidak bersalut.

Kakitangan SESB memotong wayar elektrik haram dalam operasi berkenaan.

“Berdasarkan rekod sejak tahun 2016 sehingga kini terdapat tujuh kes kemalangan maut membabitkan orang awam,” katanya.

Sementara itu, mengenai operasi berkenaan, Addie berkata, sepanjang operasi dijalankan beberapa cabaran perlu ditempuhi pasukannya termasuk laluan jambatan yang tidak kukuh dan perlu berhati-hati ketika membawa tangga dan peralatan memotong wayar.

Kakitangan SESB merampas wayar elektrik yang disambung secara haram dalam operasi bersepadu di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.

Katanya, terdapat beberapa penduduk yang cuba menghalang pasukan SESB memasuki lorong ke rumah mereka dengan mengatakan jambatan terbabit tidak boleh dilalui bagi mengelakkan wayar di rumah mereka dipotong.

Bagaimanapun berkata, operasi keseluruhan dapat dijalankan dengan lancar melalui kebolehan yang ditunjukkan pasukannya.

Dalam pada itu katanya, beberapa faktor yang tidak meluluskan permohonan untuk pemasangan meter elektrik termasuklah keperluan untuk mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, status tanah, keadaan muka bumi serta keadaan pemilik rumah itu sendiri.

“Bagi isu penolakan pepasangan elektrik di Kampung Numbak ini banyak terkesan oleh sijil kerakyatan penduduk yang tidak sah selain status tanah di kawasan tanah rizab kerajaan dan keadaan muka bumi iaitu kedudukan rumah yang terlalu dekat serta daif yang tidak mempunyai tiang rumah yang kukuh untuk pemasangan elektrik yang diluluskan.

“SESB bagaimanapun melaksanakan inisiatif dengan memperkenalkan projek perintis iaitu melantik syarikat Independent Power Distributor (IPD) untuk membekalkan elektrik ke penempatan setinggan menggunakan konsep meter pra-bayar yang mana IPD ini sedang dilaksanakan di Kampung Forest Sandakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|