Al-Quran panduan penting umat Islam – Aminah

Al-Quran panduan penting umat Islam – Aminah

Kuala Penyu: Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan, tegas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Beliau berkata, melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Jaludin mewakili Aminah diiringi oleh Joumat menyampaikan hadiah kepada peserta qari yang menyertai majlis tilawah.

“Penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah Kuala Penyu di Dewan Dato Shah Bandar Makang, di sini, semalam.

Teks Ucapan beliau disampaikan Pegawai Perhubungan Parlimen Beaufort, Ustaz Jaludin Kadir. Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kuala Penyu, Joumat Bisnim.

Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, perlu diketahui bahawa dalam al-Quran terkandung pelbagai mesej dan nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang dapat dihayati oleh umat Islam.

Katanya, pemahaman terhadap nilai-nilai dan mesej RAHMAH itu akan dapat menjadi panduan dan pengajaran dalam usaha menterjemahkan Islam sebagai agama rahmah dalam kehidupan.

“Dalam Al-Quran juga mengandungi nilai-nilai rahmah yang boleh menjadi panduan kepada kehidupan kita. Misalnya, ajaran Islam menganjurkan supaya umat manusia hidup secara muafakat, bekerjasama dan bertolak-ansur,” katanya.

Aminah yang juga Timbalan Ketua UMNO Beaufort berkata, walaupun berdepan cabaran untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat kepada al-Quran, namun usaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran perlu diteruskan dan dipergiatkan dalam kalangan masyarakat Islam bermula di peringkat keluarga.

“Ia termasuklah melalui penganjuran Majlis Tilawah dan Mengafaz Al-Quran Peringkat Daerah, Bahagian, negeri, Kebangsaan dan antarabangsa secara tahunan dan aktiviti-aktiviti kelas pengajian al-Quran sama ada di masjid atau surau serta pendidikan awal di sekolah-sekolah agama peringkat rendah,” katanya.

Katanya, usaha seperti itu begitu signifikan untuk memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam.

Sementara itu, Barawih Eling dan Norsiah Awang Tangah diumumkan sebagai Johan Qari dan Qariah pada majlis tilawah tersebut.

Mereka akan mewakili daerah Kuala Penyu ke majlis Tilawah Al Quran peringkat bahagian yang diadakan di daerah Sipitang pada 18 Februari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|