Kota Kinabalu: Penyandang Ketua UMNO bahagian Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti yang dijadual diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Kamarlin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan tidak menolak kemungkinan akan ada yang ingin bertanding jawatan disandangnya pada pemilihan itu nanti.

Beliau bagaimanapun tetap dengan pendirian untuk mempertahankan jawatan itu kerana ingin terus berkhidmat kepada parti setelah UMNO berhadapan dengan pelbagai cabaran serta dugaan selepas UMNO / BN menghadapi kekalahan pada Pilihanraya Umum Ke-4 (PRU-14) dan tsunami politik untuk memimpin bahagian itu sehingga ke hari ini.
“Saya berpendapat kepimpinan lama juga tidak harus diketepikan kerana pengalamanan luas mereka yang masih diperlukan parti selain menerima kehadiran pimpinan muda,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarlin menganggap senario keinginan dan kesungguhan pemimpin muda untuk bertanding pada pemilihan kali ini sebagai satu perkembangan yang amat positif bagi memberikan laluan kepada mereka untuk meneruskan legasi UMNO.
Mengenai pemilihan kali ini, Kamarlin berkata ia begitu penting dalam menentukan hala tuju parti dan agenda perjuangan membela nasib serta masa depan orang Melayu dan Bumiputera
Menurut beliau lagi, sesiapapun yang akan bertanding mesti berani ke depan untuk memartabatkan dan memulihkan semula imej UMNO yang sebelum ini dilontarkan dengan pelbagai persepsi negatif sehingga menjejaskan sokongan rakyat kepada BN/UMNO.
“Kita mahu mencari orang yang ikhlas dan berperinsip berjuang memartabatkan kembali parti keramat ini.
“Ia penting kerana UMNO pada masa akan datang berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran dan kita tidak mahu pihak luar memperlekehkan perjuangan UMNO yang selama ini cukup berjasa kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.
Ketika diminta mengulas perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan UMNO di bahagian Sipitang, Kamarlin berkata ianya berjalan dengan baik dan lancar, manakala momentum serta semangat ahli masih begitu tinggi untuk memperkasakan UMNO.
Pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan berlangsung sehingga 26 Februari ini, manakala mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac,” katanya.
-Deasoka