Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan tindakannya meninggalkan Parti Warisan (WARISAN) baru-baru ini.
Katanya, beliau mengalu-alukan siasatan SPRM jika Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan menerima imbuhan untuk menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya Mohd Shafie ada bukti kukuh. Saya beberapa kali menafikan sebelum ini kerana saya difitnah kemudian berani bertindak untuk membuat laporan polis.
“Saya keluar WARISAN dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten. Jika ada bukti minta dilaporkan secara rasmi kepada SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, ketika berbahas pada persidangan Dewan Rakyat semalam mendakwa ADUN WARISAN ‘dibeli’ oleh Hajiji.
Berikutan itu, beliau mendesak agar undang-undang anti lompat parti diwujudkan segera di Sabah bagi mengatasi tindakan melompat parti yang sering berlaku di Sabah.
Dalam pada itu, Norazlinah menyifatkan apa yang dilakukan WARISAN di Sabah sejak kebelakangan ini, termasuk cubaan mengambil alih kerajaan negeri melalui insiden yang disebut Langkah Kinabalu pada awal bulan lalu sebagai tidak sihat untuk Sabah.
“Polemik politik perlu berakhir agar semua ADUN diberikan peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.
“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci. Jangan heret ADUN serta parti ke kancah perebutan kuasa,” katanya.
Awal bulan ini, Norazlinah bersama ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin dan ADUN Tanjung Kapor, Chong Chen Bin mengumumkan keluar WARISAN dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Hajiji yang menerajui kerajaan negeri.
-Deasoka