Zamboanga: Seorang anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) terbunuh manakala dua tentera Filipina cedera dalam dua pertempuran berasingan di kawasan pedalaman wilayah Sulu, kata seorang pegawai tinggi tentera pada Selasa menurut Philippine News Agency.
Komander 11 Divisyen Infantri Filipina, Mejar Jeneral Ignatius Patrimonio berkata, pertempuran pertama berlaku sekitar jam 7 pagi Isnin di Barangay Kabbon Takas, pekan Patikul, Sulu semasa dalam satu operasi ketenteraan.

Patrimonio berkata, tembak menembak berlaku apabila tentera Kompeni Peninjau Divisyen 111 (DRC) Tentera Darat dan Batalion Infantri (IB) ke-32 Filipina diserang oleh kumpulan ASG yang diketua oleh Mudzrimar Sawadjaan.
“Disebabkan kekuatan tembakan yang sangat padu daripada pasukan askar 111DRC dan 32IB, pihak musuh cepat berundur,” kata Patrimonio dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, satu lagi pertempuran berlaku apabila pasukan askar 32IB telah mengukuhkan kedudukan dan mendapat peluang menyerang anggota ASG yang melarikan diri itu.
Ketika meninjau lokasi pertempuran berkenaan, pihak tentera menemui seorang mayat ahli ASG, senapang M-14, peluru, telefon bimbit analog, dan tiga beg galas yang dimuatkan dengan pelbagai barangan pengganas dan barangan peribadi.
Patrimonio berkata, ahli ASG yang terbunuh kemudian dikenal pasti sebagai Rhudymar Habib Jihiran, salah seorang pengikut Sawadjaan.
Jihiran ialah suami kepada Sitti Aisyah Rullie, juga dikenali sebagai Maryam Israni, warga Indonesia yang didoktrin untuk menjadi pengebom berani mati.
Tentera kerajaan telah menyelamatkan Sitti Aisyah dari tempat persembunyian Jihiran pada Jun 2021 di Barangay Bangkal, Patikul.
Sitti Aisyah ialah anak kepada pasangan pengganas asing Rullie Rian Zeke dan Ulfa Handayani Saleh, kedua-duanya warga Indonesia dan dituduh sebagai pengebom berani mati di sebalik kes pengeboman Gereja Our Lady of Mount Carmel pada 2019 di Jolo.
Patrimonio berkata, dua anggota tentera yang cedera dalam pertempuran itu berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Stesen Kuta Heneral Teodulfo Bautista di Jolo.
Untuk rekod, pada Januari tahun lalu,pihak Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyenaraikan Mudzrimar Sawadjaan sebagai salah seorang suspek terbaharu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes-kes jenayah rentas sempadan terutama sekali di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
-Deasoka