Sandakan: Sebuah bot Pasukan Gerakan Am (PGA) terbakar di laut berhampiran Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.49 pagi.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba ke lokasi dengan bantuan bot PPM dan setiba di lokasi pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran foam dengan sumber air laut.

“Operasi terkawal pada 10.15 pagi dan bot terbakar 70 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada 10.50 pagi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
-Deasoka