Kuala Lumpur: Sebanyak 54.5 peratus daripada 1,292 sekolah di Sabah ketika ini berdepan isu bangunan yang daif dan uzur.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata ia berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Sabah pada tahun lalu.
“Berdasarkan rekod JPNS pada 2022 terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di Sabah.
“Namun daripada bilangan sekolah itu sekurang-kurangnya 54.5 peratus disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan mengupas isu itu pada perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, malam tadi.
Menteri Kerja Raya negeri itu, berkata berdasarkan rekod pada 2020, sebanyak 414 sekolah di Sabah disahkan memiliki bangunan pada skala enam atau tidak selamat oleh Jabatan Pendidikan.
Laporan Menteri Pendidikan pada masa itu, katanya mendedahkan sebanyak 52 sekolah lagi mempunyai bangunan pada skala tujuh iaitu bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara itu, katanya Parlimen Putatan, Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau adalah antara sekolah yang memiliki bangunan berkeadaan daif serta tidak selamat digunakan.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau adalah salah satu sekolah yang ada di Parlimen Putatan.
“Satu blok bangunan konkrit dua tingkat di sekolah ini yang menempatkan kelas pengajaran dan pembelajaran murid diisytiharkan tidak selamat oleh JKR sebanyak dua kali iaitu pada 2015 dan 2022.
“Laporan ini sudah dihantar ke Kementerian Pendidikan dan salinan kepada Jabatan Pendidikan Sabah. Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan atau kerja-kerja pembaikan dijalankan,” katanya.
Keadaan itu, katanya menyebabkan murid di sekolah berkenaan terpaksa menggunakan blok bangunan kayu lain yang sudah usang.
Beliau berkata, selain isu struktur sekolah yang daif dan tidak selamat, Sabah juga masih berdepan isu sekolah tumpang.
Katanya, sehingga tahun lalu, sebanyak 23 sekolah di Sabah terpaksa beroperasi dengan menumpang di sekolah lain.
“Justeru, saya memohon Kementerian Pendidikan Malaysia melihat semula isu ini dan mengambil tindakan penyelesaian segera,” katanya.
Shahelmey turut menekankan mengenai pembinaan sekolah dengan kemudahan lebih baik yang diperlukan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah, termasuk pembinaan sekolah baharu, penambahbaikan sekolah sedia ada dan pembelian peralatan serta perisian pendidikan terkini.
-Deasoka