Bung Moktar minta SPRM, polis siasat ADUN lompat parti

Bung Moktar minta SPRM, polis siasat ADUN lompat parti

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang melompat parti.

Katanya, ia kerana tindakan berkenaan memalukan Sabah, selain menyebabkan Sabah terus terkenal dengan wakil rakyat yang suka melompat.

Beliau yang bercakap mengenai perkara itu ketika berbahas di Dewan Rakyat petang tadi berkata ketiadaan undang-undang anti lompat parti di Sabah menyebabkan perbuatan itu terus berlaku.

“Saya minta SPRM, polis siasat mereka yang melompat ini sebab memalukan negeri Sabah. Sabah ini terkenal dengan wakil rakyat dia yang suka lompat parti.

“Dia lompat, bertanding, memasang hasrat untuk bertanding dan apabila menang saja, dia akan cari peluang mana tempat untuk dia lompat untuk dia jadi menteri, pembantu menteri, dapat satu juta, dua juta, lima juta. Ini kerja ADUN-ADUN Sabah,” dakwanya.

Beliau berkata, di Sabah belum ada udang-undang anti lompat parti menyebabkan sehingga ke hari ini masih ada pembelian ADUN oleh parti kerajaan yang disifatkan sebagai perbuatan orang tidak rasional.

“Sebab apa, kenapa mau beli. Saya dulu pun tertanya-tanya bila kerajaan negeri mahu melaksanakan undang-undang anti lompat parti, rupa-rupanya ada udang di sebalik mee. Dia beli orang untuk memperlihatkan GRS ada satu kekuatan,” katanya.

Katanya, situasi yang sama pernah berlaku ketika kerajaan BERJAYA yang mana ia membeli semua ADUN untuk menyertai BERJAYA.

“Tapi akhirnya mereka kalah pilihan raya. Ada ADUN di Sabah ini memang suka lompat macam monyet. Lompat sana lompat sini sehingga dia lupa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

“Asal jadi pengkhianat dapat jawatan, jadi pengkhianat lompat jadi menteri walaupun tidak layak. Tiada pendidikan langsung pun jadi menteri.

“Mereka memikirkan bagaimana pertahan kuasa, memperlihatkan kepada orang ramai bahawa GRS, PGRS kuat, mengugut orang sana sini, membeli dengan wang ringgit, dengan tawaran jawatan dan sebagainya. Ini harus diberhentikan,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut mendakwa ADUN Sugut, Datuk James Ratib dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob paling banyak melompat parti.

“Yang terkenal di Sabah suka melompat ada satu ADUN, Sugut, James Ratib. Dia masuk semua parti dalam Malaysia, tiada satu parti pun dia tidak masuk. Sebab dia mengejar jawatan, mengejar pangkat sehingga dia lupa rakyat di bawah akan menghitung perbuatan yang dia buat.

“Seorang lagi ialah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dr Yusof, semua parti dia sudah singgah. Saya beri jaminan, jika PGRS hilang kuasa, ini dua orang akan lompat tinggalkan Datuk Hajiji,” katanya.

James dan Dr Yusof adalah antara lima ADUN mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) petang tadi.

Tiga lagi ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|