Penunggang motosikal lawan arus maut langgar pacuan empat roda

Penunggang motosikal lawan arus maut langgar pacuan empat roda

Papar: Seorang lelaki maut selepas dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus dan terbabit nahas dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32 Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, laluan Pan Borneo, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kinarut.

Keadaan motosikal ditunggang seorang lelaki yang tercampak ke dalam parit

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati ketika pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama dua penumpang dari Kampung Sulim, Kinarut menuju ke Kampung Langkuas, Kinarut.

Katanya, pada masa itu pemandu Toyota Hilux di lorong sebelah kanan dan apabila tiba di tempat kejadian, dia melihat ada sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang seorang lelaki dalam keadaan melawan arus dan berada di hadapan laluannya.

“Pemandu Toyota Hilux menekan brek dan telah mengelak ke lorong kiri namun motosikal itu yang ditunggamg secara melulu melanggar hadapan kenderaannya.

Kenderaan Toyota Hilux remuk akibat dilanggar motosikal dipercayai melawan arus

“Akibat perlanggaran itu, lelaki bersama motosikal tercampak ke dalam parit yang berada di tengah-tengah pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, lelaki terbabit dikatakan menunggang motosikal seorang diri menuju ke Kota Kinabalu dipercayai cuba untuk melarikan diri daripada diperiksa dalam sekatan jalan raya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Katanya, pasukan JSPT belum sempat memeriksa, penunggang segera melarikan diri secara melawan arus di laluan utama dan bukan dibahu jalan Sehinggalah motosikal lelaki terbabit melanggar kenderaan Toyota Hilux.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|