Keputusan keluar UMNO, sertai Gagasan Rakyat ambil kira kepentingan negeri – Dr Yusof

Keputusan keluar UMNO, sertai Gagasan Rakyat ambil kira kepentingan negeri – Dr Yusof

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata keputusannya bersama rakan lain keluar UMNO dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini dibuat selepas memikirkan semasak-masaknya halatuju politik mereka di Sabah.

Katanya, keputusan itu berdasarkan prinsip mentaati dan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong mengenai perlunya kestabilan politik dalam negara dan setiap negeri.

Beliau berkata, mereka turut memahami mengenai perlunya kerajaan negeri yang kuat dan stabil serta bersatu padu untuk mencapai pembangunan serta kemajuan Sabah.

“Kita juga menyedari bahawa pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah parti berasaskan Sabah untuk terus memperjuangkan hak rakyat Sabah dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pada masa sama kita menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Selain itu, kita juga memahami bahawa kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah,” katanya pada sidang media khas di SICC, di sini, hari ini.

Berikutan itu, katanya mereka mengisytiharkan sokongan sebulat suara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya serta menyokong sebulat suara kepemimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya.

Mengenai tindakan UMNO terhadap mereka, Dr Yusof berkata mereka sudah menerima surat tunjuk sebab berikutan pendirian tidak menyokong keputusan UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri pada awal bulan lalu.

“Kami tahu mungkin dihadapkan ke lembaga disiplin UMNO tetapi hari ini kami sudah membuat keputusan keluar parti.

“Keputusan ini adalah atas kerelaan kami kerana kami tidak mahu lagi begitu banyak krisis berlaku di Sabah sebab rakyat tidak mahu ia berlaku.

“Rakyat mahu harga barang turun, jalan raya mereka dalam keadaan bagus dan ada pembangunan berterusan. Jadi kami fikirkan ini tetapi setiap orang cara berfikir adalah berlainan,” katanya.

Empat lagi ADUN UMNO yang mengambil tindakan sama ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk James Ratib (Sugut) dan Datuk Hamid Awang (Balung).

Turut keluar UMNO dan menyertai Gagasan Rakyat ialah bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna, Aziz Ibnu.

Selain itu, tiga bekas ADUN Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti pada awal bulan ini iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi) turut menyertai Gagasan Rakyat.

Beberapa pemimpin bahagian WARISAN termasuk dari Wilayah Persekutuan Labuan turut mengambil keputusan yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|