Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini menyatakan semula sokongan kepada Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Presidennya, Datuk Peter Anthony menegaskan bahawa pihakmya tidak meletakkan sebarang syarat untuk sokongan tersebut dan ingin tumpuan diberikan terhadap pembangunan negeri.
“Saya bersama-sama dengan pimpinan tertinggi di peringkat KDM membuat keputusan untuk memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah (Hajiji) bagi menerajui pimpinan tertinggi di peringkat negeri.
“Tidak ada syarat untuk kita memberikan sokongan ini, bagi kami apa yang penting adalah usaha bersama untuk membangunkan negeri serta usaha untuk membantu masyarakat kita.
“Kami juga berharap bahawa dengan sokongan dan pengumuman kami hari ini akan membolehkan kedudukan kita atau politik di negeri ini reda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Parti KDM, di Kepayan, hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai reaksi Ketua Menteri memandangkan KDM pernah memintanya untuk beliau meletakkan jawatan serta-merta, Peter berkata, ia terpulang kepada pendiriannya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, buat masa sekarang adalah gencatan politik di peringkat negeri bagi kebaikan rakyat.
“Itu perkara yang paling penting sekali, kerana kita tahu politik sangat dinamik dan apa sahaja boleh berlaku.
“Tapi kita akur dengan dasar parti kita di peringkat negeri, iaitu kita menyokong siapa sahaja kepimpinan di peringkat negeri Sabah.
“Kita maju ke hadapan, lagi pun kita di antara pemimpin-pemimpin negeri Sabah, apa kita mahu gaduh? Lebih baik kita tumpukan kepada pembangunanan negeri,” katanya.
-Deasoka