Lebih 30 jam berpaut pada tong bekas minyak, nelayan ditemui selamat

Lebih 30 jam berpaut pada tong bekas minyak, nelayan ditemui selamat

Kota Kinabalu: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai, di sini, di ditemui selamat, hari ini.

Mangsa Morris Dulin, 69, berjaya ditemui jam 1.45 tengah hari dalam keadaan terapung dengan berpaut pada tong bekas minyak lebih 30 jam di kawasan perairan Sepanggar.

Nelayan dilaporkan hilang semalam, berjaya ditemui selamat oleh TLDM di perairan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan penemuan mangsa oleh Kapal KD Sunda, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Mangsa ditemui selamat dalam keadaan masih berpaut pada tong bekas minyak di tengah laut di perairan Sepanggar oleh TLDM.

“Mangsa kemudiannya dibawa balik ke pangkalan TLDM untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, dua rakannya yang berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabung, Tuaran dilaporkan keluar ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot dinaiki ketiga-tiga mangsa karam.

Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.

Operas mencari dan menyelamat dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot nelayan awam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|